Kalau
nak sebut watak-watak komik dan judul-judul komik yang menjadi minat sejak kecil memang banyak. Antaranya yang masih teringat di memori ialah majalah komik Salina, Kapten Malaysia (dari majalah Bambino), Spider-Man dan Superman. Seterusnya karya-karya komik fantasi nusantara keluaran Mediaseni yang membariskan artis-artis komik yang sememangnya ekstrim dengan idea angker.
Cerita-cerita komik nusantara yang seram dan fantasi dari penerbitan inilah seingat saya memperkayakan lagi imaginasi untuk ke arah
yang sama (dengan karya akan datang dalam perancangan, 'PUTERA MALAR'). Diikuti pula dengan karya-karya hebat dari Novel Grafik Bayan dan seterusnya karya-karya komik hebat oleh majalah Fantasi keluaran Creative Enterprise (rujukan: Komik Industri Malaysia). Pastu ada koleksi komik sastera berbahasa Inggeris yang saya dapatkan di perpustakaan sekolah (SMTP) yang pertama kali mendedahkan saya kepada karya 'Wuthering Heights'. Tetapi sebagai artis komik, identiti saya lebih terserlah kepada stail lukisan saya. Ramai
gak yang tanya, siapakah yang paling menyerlah (Top 10) dalam memberi aura kesenian saya melukis komik? Jawapannya mereka inilah...
AZMAN YUSOF
|
Semenjak
majalah FANTASI diperkenalkan oleh Creative Enterprise dan hasil
lukisan beliau sering dijadikan sebagai kulit muka depan majalah
tersebut, keterujaan saya melukis dan mewarna semakin menjadi-jadi. Saya
sangat kagum dengan ketelitian beliau mewarna dan melukis anatomi
manusia di pelbagai sudut posisi. Malah pernah ketika saya belajar di
sekolah menengah (SSARSI) dalam aliran sains, sering saya mengesyorkan
kepada kelab seni untuk menggunakan majalah FANTASI sebagai rujukan
kerana karya-karya Azman Yusof. Sehingga ke hari ini apabila menatap
kembali kepada lukisan-lukisan beliau, kebanyakannya masih boleh saya
ingat kepentingannya kepada perkembangan skil melukis saya terutamanya
dalam bab mewarna.
|
AIE
|
Beliau adalah salah seorang artis komik yang saya
kagumi dari segi lakaran dan mendekatkan saya kepada majalah UJANG untuk
siri BLUES UNTUK AKU. Yang menjadi perhatian saya kepada bakat beliau
ialah strok lakarannya yang mudah tetapi sangat menarik! Beliau
memaparkan satu teknik melukis yang bijak menggunakan ruang dan masa
tanpa perlu mengulang kerja. Malah menggabungkan elemen kartun dan
realistik sebagai pakej identiti beliau sememangnya patut menjadi
tarikan komersil (sampaikan menjadi ikut-ikutan bakat-bakat baru). |
TAN ENG HUAT
|
Saya mengkagumi hampir semua artis-artis komik di Gempak Starz™
kerana bakat-bakat yang ditampilkan di bawah label ini memang tidak
dinafikan punya keunikan tersendiri, dan kerja seni yang teliti serta berkualiti. Tetapi sejak mula mengenali Gempak™ dan artis-artis komiknya,
kerja beliau yang paling kuat tarikannya kepada naluri seni saya.
Beliau ada teknik melakar dan mewarna konvensional yang kemas dan teliti
tetapi bebas dari sudut persembahan. Seolah penyampaian beliau berani
dalam rentak yang sangat berhati-hati, justeru tidak mustahil hari ini
taraf beliau sebaris dengan artis-artis komik terkenal antarabangsa. |
ALEX ROSS
|
Permainan warna air beliau dalam penghasilan komik
memang unik! Malah cara beliau melukis postur karakter manusia sangat
realisitik telah memangkinkan semangat saya untuk turut sama pandai
melukis karakter manusia dengan tepat. Beliau juga antara pengaruh utama
saya suka membikin komik peribadi dengan warna air ketika masih
menuntut diploma di UiTM Jengka. Pernah juga saya mewarnakan karya-karya
komik peribadi saya dengan dakwat cair, juga terilham dari pengamatan
melihat lukisan-lukisan komik beliau. |
TRAVIS CHAREST
|
Saya mengenali beliau ketika sudah menerajui majalah GEMPAK™
dan terpikat dengan stail melukisnya dalam siri WildC.A.T's Vol. 2.
Semenjak itu saya tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan mana-mana
komik yang melibatkan beliau sebagai artis komik. Pertama yang
membuatkan saya suka dengan teknik lukisan beliau ialah teknik penciling yang kemas dan inking yang
cukup teliti. Keduanya ialah cara beliau menggunakan teknik melukis
garis putus-putus sebagai imbuhan kepada garis mati yang menjadikan
karya seni beliau beridentiti tersendiri.
|
CHRIS BACHALO
|
Sebelum siri komik STEAMPUNK, saya
tidak begitu cenderung dengan hasil kerja beliau. Tetapi selepas
SteamPunk, salut saya kepada teknik lukisan beliau mampu saya angkat
sebagai sangat epik! Yang paling membuat saya teruja ialah dengan cara penciling beliau, ada ketelitian seni yang tidak memerlukan pembaris untuk mendapatkan garis lurus walaupun outline tidak
sekata. Malah dengan karya STEAMPUNK beliau juga saya lebih menghargai
erti ketelitian dengan minat yang tidak berbelah bagi. Namun jujur saya
katakan, setakat ini hanya dengan STEAMPUNK saya kekal menjiwai seni
beliau. |
INOUE TAKEHIKO
|
Beliau saya kenal melalui VAGABOND
dahulu baru saya tahu beliau juga yang melukis komik SlamDunk.
Kecendurangan saya terhadap teknik melukis beliau lebih tertumpu kepada brushing, penciling dan inking. Stail beliau lain daripada yang lain berbanding semua manga-ka
di Jepun, lebih kepada seni potret yang merealistikan pembangunan
karakter dan latar-belakang. Kalau hendak tahu bagaimana saya
mencampurkan unsur realistik dengan konsep manga, maka beliaulah orangnya yang mempengaruhi kaedah tersebut dalam pembikinan komik saya. |
MA WING SHING
|
Bagi saya, beliau adalah Alex Ross
versi Asia tetapi dengan teknik pewarnaan yang lebih teliti dan
tertumpu. Punca saya mengikuti siri komik PEDANG SETIAWAN pun kerana
lukisan beliau yang mantap (ketika teman-teman yang lain sibuk mengikuti
perkembangan komik Tony Wong). Cara beliau melukis dan mewarna telah
mengajak saya untuk menghayati setiap panel komik hinggakan seolah saya
turut berada di zaman itu. Hinggakan saya begitu dekat dengan Penjejak
Awan dan Penjejak Badai, dan sehingga kini ingat siapa itu Penjejak
Angin. |
KATSUHIRO OTOMO
|
Seperkara yang saya kagumi tentang
beliau ialah teknik melukisnya yang mudah tetapi padat dengan
ketelitian. Beliau adalah contoh kepada saya dalam membina kesabaran
untuk menghasilkan seni komik yang lebih pandai bercerita dengan hanya
melihat kepada lukisan selain membaca dialog. Setiap panel menggambarkan
suasana yang mampu memberi seribu makna. Setiap karakter digambarkan
dengan ekspresi yang mudah untuk difaham dan sebutir pasir yang dilukis
pun punya sebabnya. Tetapi karya AKIRA beliau adalah masterpiece untuk saya jadikan rujukan erti sebuah kesabaran demi sebuah kejayaan yang unggul! |
*************************************
Jadi tidaklah bakat dan ilham melukis saya menjadi kalau tidak kerana mereka-mereka yang lebih berpengalaman berbanding saya di dalam industri ini, samada yang telah saya sebutkan di sini mahupun mereka yang tidak saya senaraikan. Jika gaya lakaran dan teknik melukis mereka mampu membuatkan saya teruja untuk mengamatinya, maka saya akan tatap hasil kerja itu rapat-rapat seolah sedang menyerap auranya. Semoga ada ramai lagi artis komik yang bakal membuatkan saya teruja, BERUSAHA!
FAKHRUL ANOUR
|
Melampau la calonkan diri sendiri dalam Top 10 ni, kannnn... tapi itulah hakikatnya. Kalau saya tidak sukakan bakat sendiri, mustahil saya boleh sampai ke tahap seperti hari ini. Saya tidak menilai diri saya sebagai artis kanvas yang suka bereksperimentasi dengan banyak jenis warna, medium ataupun peralatan. Mencurah segala rasa tanpa ada susunan cerita mengikut panel bahkan dialog yang boleh dibaca. Walau suka memerhati karya-karya painting sedemikian, namun itu bukan bidang saya. Apatah lagi saya tidak cenderung untuk menjadi artis fine-art ataupun abstrak. Saya pelukis komik dan tumpuan saya lebih kepada sebarang jenis lukisan yang mengaplikasi kepada komik itu sendiri. Biarlah orang kata ini kerja paling susah nak kaya, tetapi sudah terbukti pun ramai juga yang boleh berhidup dengan hanya melukis komik. Yang penting kita kena berusaha, dan jangan mudah mengabaikan apa yang kita cinta. Insha-Allah... BERUSAHA! ^_^ |