Tuesday, October 7, 2014

TOP 10 PEMBERI AURA MELUKIS KOMIK

Kalau nak sebut watak-watak komik dan judul-judul komik yang menjadi minat sejak kecil memang banyak. Antaranya yang masih teringat di memori ialah majalah komik Salina, Kapten Malaysia (dari majalah Bambino), Spider-Man dan Superman. Seterusnya karya-karya komik fantasi nusantara keluaran Mediaseni yang membariskan artis-artis komik yang sememangnya ekstrim dengan idea angker. Cerita-cerita komik nusantara yang seram dan fantasi dari penerbitan inilah seingat saya memperkayakan lagi imaginasi untuk ke arah yang sama (dengan karya akan datang dalam perancangan, 'PUTERA MALAR'). Diikuti pula dengan karya-karya hebat dari Novel Grafik Bayan dan seterusnya karya-karya komik hebat oleh majalah Fantasi keluaran Creative Enterprise (rujukan: Komik Industri Malaysia). Pastu ada koleksi komik sastera berbahasa Inggeris yang saya dapatkan di perpustakaan sekolah (SMTP) yang pertama kali mendedahkan saya kepada karya 'Wuthering Heights'. Tetapi sebagai artis komik, identiti saya lebih terserlah kepada stail lukisan saya. Ramai gak yang tanya, siapakah yang paling menyerlah (Top 10) dalam memberi aura kesenian saya melukis komik? Jawapannya mereka inilah...
    
AZMAN YUSOF
Semenjak majalah FANTASI diperkenalkan oleh Creative Enterprise dan hasil lukisan beliau sering dijadikan sebagai kulit muka depan majalah tersebut, keterujaan saya melukis dan mewarna semakin menjadi-jadi. Saya sangat kagum dengan ketelitian beliau mewarna dan melukis anatomi manusia di pelbagai sudut posisi. Malah pernah ketika saya belajar di sekolah menengah (SSARSI) dalam aliran sains, sering saya mengesyorkan kepada kelab seni untuk menggunakan majalah FANTASI sebagai rujukan kerana karya-karya Azman Yusof. Sehingga ke hari ini apabila menatap kembali kepada lukisan-lukisan beliau, kebanyakannya masih boleh saya ingat kepentingannya kepada perkembangan skil melukis saya terutamanya dalam bab mewarna. 
 AIE
Beliau adalah salah seorang artis komik yang saya kagumi dari segi lakaran dan mendekatkan saya kepada majalah UJANG untuk siri BLUES UNTUK AKU. Yang menjadi perhatian saya kepada bakat beliau ialah strok lakarannya yang mudah tetapi sangat menarik! Beliau memaparkan satu teknik melukis yang bijak menggunakan ruang dan masa tanpa perlu mengulang kerja. Malah menggabungkan elemen kartun dan realistik sebagai pakej identiti beliau sememangnya patut menjadi tarikan komersil (sampaikan menjadi ikut-ikutan bakat-bakat baru).
TAN ENG HUAT
Saya mengkagumi hampir semua artis-artis komik di Gempak Starz™ kerana bakat-bakat yang ditampilkan di bawah label ini memang tidak dinafikan punya keunikan tersendiri, dan kerja seni yang teliti serta berkualiti. Tetapi sejak mula mengenali Gempak™ dan artis-artis komiknya, kerja beliau yang paling kuat tarikannya kepada naluri seni saya. Beliau ada teknik melakar dan mewarna konvensional yang kemas dan teliti tetapi bebas dari sudut persembahan. Seolah penyampaian beliau berani dalam rentak yang sangat berhati-hati, justeru tidak mustahil hari ini taraf beliau sebaris dengan artis-artis komik terkenal antarabangsa.
ALEX ROSS
Permainan warna air beliau dalam penghasilan komik memang unik! Malah cara beliau melukis postur karakter manusia sangat realisitik telah memangkinkan semangat saya untuk turut sama pandai melukis karakter manusia dengan tepat. Beliau juga antara pengaruh utama saya suka membikin komik peribadi dengan warna air ketika masih menuntut diploma di UiTM Jengka. Pernah juga saya mewarnakan karya-karya komik peribadi saya dengan dakwat cair, juga terilham dari pengamatan melihat lukisan-lukisan komik beliau.
 TRAVIS CHAREST
Saya mengenali beliau ketika sudah menerajui majalah GEMPAK™ dan terpikat dengan stail melukisnya dalam siri WildC.A.T's Vol. 2. Semenjak itu saya tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan mana-mana komik yang melibatkan beliau sebagai artis komik. Pertama yang membuatkan saya suka dengan teknik lukisan beliau ialah teknik penciling yang kemas dan inking yang cukup teliti. Keduanya ialah cara beliau menggunakan teknik melukis garis putus-putus sebagai imbuhan kepada garis mati yang menjadikan karya seni beliau beridentiti tersendiri.
 CHRIS BACHALO
Sebelum siri komik STEAMPUNK, saya tidak begitu cenderung dengan hasil kerja beliau. Tetapi selepas SteamPunk, salut saya kepada teknik lukisan beliau mampu saya angkat sebagai sangat epik! Yang paling membuat saya teruja ialah dengan cara penciling beliau, ada ketelitian seni yang tidak memerlukan pembaris untuk mendapatkan garis lurus walaupun outline tidak sekata. Malah dengan karya STEAMPUNK beliau juga saya lebih menghargai erti ketelitian dengan minat yang tidak berbelah bagi. Namun jujur saya katakan, setakat ini hanya dengan STEAMPUNK saya kekal menjiwai seni beliau.
INOUE TAKEHIKO
Beliau saya kenal melalui VAGABOND dahulu baru saya tahu beliau juga yang melukis komik SlamDunk. Kecendurangan saya terhadap teknik melukis beliau lebih tertumpu kepada brushing, penciling dan inking. Stail beliau lain daripada yang lain berbanding semua manga-ka di Jepun, lebih kepada seni potret yang merealistikan pembangunan karakter dan latar-belakang. Kalau hendak tahu bagaimana saya mencampurkan unsur realistik dengan konsep manga, maka beliaulah orangnya yang mempengaruhi kaedah tersebut dalam pembikinan komik saya.
MA WING SHING
Bagi saya, beliau adalah Alex Ross versi Asia tetapi dengan teknik pewarnaan yang lebih teliti dan tertumpu. Punca saya mengikuti siri komik PEDANG SETIAWAN pun kerana lukisan beliau yang mantap (ketika teman-teman yang lain sibuk mengikuti perkembangan komik Tony Wong). Cara beliau melukis dan mewarna telah mengajak saya untuk menghayati setiap panel komik hinggakan seolah saya turut berada di zaman itu. Hinggakan saya begitu dekat dengan Penjejak Awan dan Penjejak Badai, dan sehingga kini ingat siapa itu Penjejak Angin.
KATSUHIRO OTOMO
Seperkara yang saya kagumi tentang beliau ialah teknik melukisnya yang mudah tetapi padat dengan ketelitian. Beliau adalah contoh kepada saya dalam membina kesabaran untuk menghasilkan seni komik yang lebih pandai bercerita dengan hanya melihat kepada lukisan selain membaca dialog. Setiap panel menggambarkan suasana yang mampu memberi seribu makna. Setiap karakter digambarkan dengan ekspresi yang mudah untuk difaham dan sebutir pasir yang dilukis pun punya sebabnya. Tetapi karya AKIRA beliau adalah masterpiece untuk saya jadikan rujukan erti sebuah kesabaran demi sebuah kejayaan yang unggul!
 *************************************

Jadi tidaklah bakat dan ilham melukis saya menjadi kalau tidak kerana mereka-mereka yang lebih berpengalaman berbanding saya di dalam industri ini, samada yang telah saya sebutkan di sini mahupun mereka yang tidak saya senaraikan. Jika gaya lakaran dan teknik melukis mereka mampu membuatkan saya teruja untuk mengamatinya, maka saya akan tatap hasil kerja itu rapat-rapat seolah sedang menyerap auranya. Semoga ada ramai lagi artis komik yang bakal membuatkan saya teruja, BERUSAHA! 

FAKHRUL ANOUR
Melampau la calonkan diri sendiri dalam Top 10 ni, kannnn... tapi itulah hakikatnya. Kalau saya tidak sukakan bakat sendiri, mustahil saya boleh sampai ke tahap seperti hari ini. Saya tidak menilai diri saya sebagai artis kanvas yang suka bereksperimentasi dengan banyak jenis warna, medium ataupun peralatan. Mencurah segala rasa tanpa ada susunan cerita mengikut panel bahkan dialog yang boleh dibaca. Walau suka memerhati karya-karya painting sedemikian, namun itu bukan bidang saya. Apatah lagi saya tidak cenderung untuk menjadi artis fine-art ataupun abstrak. Saya pelukis komik dan tumpuan saya lebih kepada sebarang jenis lukisan yang mengaplikasi kepada komik itu sendiri. Biarlah orang kata ini kerja paling susah nak kaya, tetapi sudah terbukti pun ramai juga yang boleh berhidup dengan hanya melukis komik. Yang penting kita kena berusaha, dan jangan mudah mengabaikan apa yang kita cinta. Insha-Allah... BERUSAHA! ^_^